BERITA TERKINI

8:05 AM Edit This 0 Comments »

Sentral: RM1.4 juta bangun IT dua Sekolah Bestari

CYBERJAYA: Program Sekolah Bestari yang dijayakan Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) terus mendapat sokongan sektor korporat apabila 10 syarikat swasta menyumbangkan peruntukan berjumlah RM1.4 juta untuk membangunkan kemudahan teknologi maklumat (IT) di dua lagi sekolah di luar bandar, tahun ini.

Dua sekolah baru yang dipilih menyertai Program Sekolah Bestari Luar Bandar itu ialah
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pecah, Kuala Kubu Baru, Selangor dan SMK Felda Palong 14, Gemas, Negeri Sembilan.

Antara syarikat terbabit termasuk Multimedia Synergy Corporation Sdn Bhd; Panasonic (M) Sdn Bhd, TM Smartschool, Microsof Malaysia, Pintar Learning Sdn Bhd, Oracle Corporation Malaysia, Packet One Networks (M) Sdn Bhd, 5th Ilmuworld Sdn Bhd dan Commax Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali, berkata ia adalah kesinambungan daripada program Sekolah Bestari membabitkan 88 sekolah bandar yang dilaksanakan tiga tahun lalu.

Badlisham berkata, antara kemudahan yang bakal dinikmati dua sekolah terbabit ialah komputer riba, perkhidmatan penyambungan internet tanpa wayar (Wi-Fi) dan pemasangan Kebolehoperasian Global untuk Capaian Gelombang Mikro (WiMAX).

"Kita akan menjadikan dua sekolah itu sebagai contoh atau model untuk mengenal pasti masalah yang bakal dihadapi terutama gangguan elektrik yang mungkin berlaku. Kita akan mengkaji bagaimana untuk mengatasi masalah terbabit.

"Sekiranya kementerian bersetuju, kita akan memperluaskan program itu kepada 13 sekolah lain yang akan diumumkan kementerian bulan depan," katanya ketika ditemui pada pra pelancaran Program Sekolah Pintar Luar Bandar di sini, kelmarin. 



0 comments: